Wednesday, November 6, 2013

You Jump, I Jump!



Alhamdulillah, pihak Organisasi Batch berjaya menganjurkan Kuliah Maghrib dan Solat Hajat pada 6 November 2013 bertempat di sutuh Asrama Mara. Program yang membawa tajuk "You Jump, I Jump" adalah sempena menyambut Maal Hijrah.

Kuliah maghrib yang disampaikan oleh saudara Muhammad Syafiq bin Nordin secara ringkas bermula selepas solat maghrib berjemaah. Penyampai menerangkan sedikit maksud yang cuba dibawa melalui tajuk yang diberikan. Bertepatan dengan takwim umat Islam yang baru menyambut tahun baru, seharusnya setiap dari kita cuba berusaha untuk mencari azam agar menjadi lebih baik. Tak dapat tidak, kita mestilah membuat perubahan dalam kehidupan.

"You Jump, I Jump": kalau orang lain boleh buat sesuatu perubahan, maka kita pun boleh membuat keputusan untuk berubah.

Ibarat seperti graf pada ECG, setiap manusia ada turun dan naiknya. Sekali berada di bawah, seharusnya kita bangkit untuk berusaha berada di atas semula. Bangun membuat perubahan.

Mengambil analogi seorang bayi yang mempunyai development milestone yang perlu dikuasai mengikut tahap umur, begitu juga manusia yang sudah menempuh alam dewasa. Setiap dari kita ada perkara-perkara yang perlu kita capai.

Banyak panduan yang boleh kita ikuti untuk berubah. Mungkin kita tidak mampu untuk mencontohi tokoh-tokoh atau ikon-ikon dunia yang hebat, tapi kita mempunyai sahabat di sekeliling kita, yang hidup bersama kita sehari-hari yang boleh kita ambil tauladan yang baik untuk dicontohi.

Penyampai turut menekan aspek niat. Dalam membuat sesuatu perkara, niat adalah perkara yang paling penting, menjalankan amanah  kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Satu perkara lagi yang cuba dibawa kepada hadirin ialah mengenai jasa yang kita beri pada junior. Sebagaimana yang kita maklum, kini seorang demi seorang senior yang sudah menamatkan pengajian pulang berbakti untuk tanah air. Tenaga yang mereka curahkan untuk membantu junior-junior sewaktu awal kedatangan ke sini adalah sesuatu yang sangat dihargai, sehingga mampu membentuk adik-adik untuk menjadi individu yang lebih baik. Lalu, muhsabah pada diri sendiri, bagaimana pula sumbangan kita, yang sudah berada di tahun 5 sekarang terhadap adik-adik junior? Sebaiknya kita berusaha untuk memberi, misalan melalui keterlibatan dalam program-program.

Di akhir program, hadirin diingatkan supaya mengambil iktibar dari penghijrahan baginda Rasulullah saw. Baginda yang berhijrah ke Madinah ketika berumur 50 tahun, sehingga mampu membuka kota Madinah dan melebarkan syiar Islam. Jadi, dengan nikmat waktu muda, kita seharusnya menggunakan masa sebaiknya. Tiada istilah terlambat dalam berubah dan tak sepatutnya merasakan diri sudah cukup dengan perubahan yang ada.

Semoga tahun kali ini lebih baik dari yang sebelumnya. Sama-samalah kita berubah ke arah yang lebih baik. Hanya mereka yang pernah merasai pahitnya berada dalam kejahilan, akan menghargai manisnya hidup mengikut aturan Yang Maha Esa dan seterusnya berusaha untuk mengajak rakan-rakan yang lain mengecapi keindahan Islam yang dinikmati.



0 HoT sTufF:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More