Thursday, May 9, 2013

'Berpenyakitkah Hati Ini'

Bismillahirrahmanirrahim...

Asrama MARA, 20 April 2013 – Batch Tahun 4, I-Mumtaz telah mengadakan kuliyah maghrib yang bertajuk ‘Penyakit Hati Seorang Doktor’ di sutuh asrama bagi mendengar kalam-kalam yang mendidik hati agar sentiasa memiliki hati seorang hamba.

Usai solat maghrib berjemaah, kuliyah dimulakan. Walau cuaca sejuk mengiringi, namun tiada seorang pun yang berganjak meninggalkan majlis, mungkin masing-masing terkesan dengan kata-kata pentazkirah yang kadang kala sangat menyentuh hati. Dr Zaim bin Samsuri yang didatangkan khas dari Universiti Ain Shams merupakan Penasihat PERUBATAN Ain Shams yang mempunyai pengaruh tersendiri di muhafazah Kaherah.

‘Apabila ditanya kepada Saidatina Aisyah, apakah itu kejahatan? Maka jawab Aishah,’ Kejahatan adalah apabila engkau merasakan diri sudah membuat kebaikan..’


Benar, sememangnya hati adalah sesuatu yang sangat istimewa kerana ia adalah tempat jatuhnya pandangan Allah. Kadang kala kita merasa penat selepas melakukan program-program kebajikan, namun dalam masa yang sama kita lupa menilai hati adakah kita melakukannya kerana Allah, atau sekadar ingin mendapat pujian dari teman-teman.

Sentiasalah muhasabah diri sendiri, sebab itu kadang-kadang penting untuk kita memiliki sahabat yang dapat mengingatkan diri kita terutama apabila diri berada di puncak kejayaan. Lihatlah sejarah yang pernah terukir apabila Sultan Muhammad al Fateh Berjaya membuka Constantinople, bagaimana kalam emas dari Syeikh Shamsudin al Wali telah membuat al Fateh tersungkur sujud pada Yang Esa ; ‘Hari ini nama kamu disanjung..hari ini nama kamu harum dalam lipatan sejarah..dan biarlah hanya aku yang mengingatkan engkau bahawa engkau hanyalah hamba Allah..’

Apalah sangat dunia ini jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat, terlalu jauh untuk dibandingkan sehingga Allah mengibaratkan dunia hanyalah seperti sebelah sayap nyamuk. Tiada guna mengejar kemegahan dunia yang sudah pasti akan ditinggalkan pada bila-bila masa. Sebelum tidur, cuba tanya pada hati, apa tujuan sebenar kita berusaha keras mengejar cita-cita seorang doktor. Andai ada pada jawapan itu yang mengikut pengetahuan kita akan mengundang murka Allah, istighfarlah dan mulakan niat baru.


Juga saat ini di mana kita sedang dalam proses pembentukan untuk menjadi seorang doktor, banyak mehnah ujian yang pastinya akan membuatkan kita kadang kala terduduk jua. Dalam imtihan, kegagalan adalah sunnatullah orang yang menuntut ilmu, tiada apa yang perlu dikesalkan. Sudah terlalu banyak kisah orang terdahulu yang membuktikan bahawa kegagalan jika dinilai dari sudut berbeza, bisa menjadi peransang kepada seseorang untuk terus berusaha.

Dalam pada itu jika kita melihat ada sahabat kita yang diuji dengan kesenangan atau kecemerlangan, jangan sekali-kali ada perasaan cemburu atau dengki padanya. Ini hari dia, siapa tahu esok hari kita pula. Saudara Zaim memberi tips bagaimana untuk menghilangkan perasaan dengki kepada seseorang iaitu dengan memuji orang tersebut dengan kelebihan yang ada padanya. Dengan itu kita akan menjadi kawan kepadanya dan dengan izin Allah, perasaan dengki akan terhakis sedikit demi sedikit.

Tepat jam 8.30 malam kuliyah maghrib melabuhkan tirainya. Kemudian diikuti solat isyak berjemaah dan solat hajat imtihan. Syukur kepada tuhan yang memudahkan urusan semuanya walau cuaca sejuk mengiringi dari awal hingga ke akhir. Semoga Allah menerima semua yang dilakukan oleh mahasiswa mahasiswi tahun 4 sebagai amal soleh yang akan memudahkan hisab di akhirat kelak.

Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh :
(Mohammad Miqdam Musa)

0 HoT sTufF:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More