Monday, November 21, 2011

Garis Panduan Keselamatan Bil. 2 Tahun 2011

"masuklah kamu ke negeri mesir,insya allah dalam keadaan aman"[surah yusuf:99]


KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH

GARIS PANDUAN KESELAMATAN BIL. 2 TAHUN 2011

KEPADA WARGANEGARA MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR

1. Maklumat Am

1.1. Garis Panduan Keselamatan Bil. 2 Tahun 2011 dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) kepada semua warga Malaysia di Republik Arab Mesir. Ia adalah merupakan susulan kepada Garis Panduan Keselamatan Bil. 1 Tahun 2011 yang dikeluarkan oleh KBMK pada 7 Mac 2011 berdasarkan kepada situasi politik dan ekonomi semasa Mesir.

2. Keadaan dan Maklumat Semasa

(A) Ringkasan Suasana Semasa

2.1. Semua pejabat Kerajaan, institusi pengajian, pusat kesihatan, premis perniagaan, perbankan dan sistem pengangkutan awam secara amnya masih beroperasi seperti biasa.

2.2. Pasukan polis telah mula kembali bertugas secara berperingkat. Namun, waktu tindak balas (response time) oleh pihak polis tidak menepati keperluan sebarang kecemasan. Kes-kes jenayah seperti kes-kes pecah rumah, pergaduhan serta jenayah yang melibatkan samseng jalanan semakin kerap dilaporkan. Keyakinan rakyat Mesir terhadap pasukan polis awam masih belum pulih sepenuhnya.

2.3. Pihak tentera masih berada di beberapa kawasan dan premis strategik seperti di luar bangunan-bangunan kerajaan. Peranan pihak tentera mengawal keamanan di bandar-bandar dilihat kurang berkesan dan tidak banyak membantu mengurangkann kes-kes jenayah.

2.4. Kekacauan ataupun keganasan masih berlaku termasuklah keganasan agama (sectarian violence) tetapi tertumpu kepada bandar-bandar dan kawasan-kawasan tertentu. Tunjuk perasaan dan mogok juga berlaku di tempat-tempat dan pada masa-masa tertentu. Tindakan tunjuk perasaan dan mogok yang diadakan oleh banyak golongan rakyat atas pelbagai alasan termasuk menuntut kenaikan gaji, mendesak Kerajaan Sementara (Interim) Mesir dan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) membuat pelbagai perubahan politik, ekonomi dan sebagainya dengan segera dan sebagainya, tidak membantu pemulihan ekonomi Mesir. Kehadiran para pelancong asing juga semakin berkurangan.

2.5. Beberapa kejadian tidak diingini yang menimpa mahasiswa-mahasiswi Malaysia baru-baru ini seperti perselisihan faham dengan tuan rumah yang disewa, kemalangan dan kematian sewaktu mengikuti aktiviti bukan akademik di luar pengetahuan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, atau Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, boleh dijadikan teladan supaya warganegara Malaysia, khususnya mahasiswa-mahasiswi lebih mengambil berat tentang aspek keselamatan mereka dalam situasi semasa di Mesir.

2.6. Terdapat beberapa institusi seperti pusat-pusat pengajian swasta dan pejabat-pejabat korporat syarikat-syarikat antarabangsa telah mengumumkan akan menutup operasi mereka pada tarikh-tarikh tertentu semasa Pilihanraya Parlimen Mesir diadakan sebagai langkah berjaga-jaga.

(B) Peralihan kepada Pemerintahan Awam

2.7. Majlis Tertinggi Angkatan Tentera dan Kerajaan Sementara (Interim) Mesir telah menetapkan bahawa Pilihanraya Parlimen Mesir akan diadakan secara berperingkat mulai bulan November 2011 sehingga bulan Mac 2012. Pilihanraya Parlimen yang terdiri daripada People’s Assembly dan Majlis Shoura ini telah dimulakan dengan penamaan calon mulai 12 hingga 24 Oktober 2011.

2.8. Secara ringkasnya, Pilihanraya People’s Assembly akan diadakan secara berperingkat mengikutGovernorates (Muhaffazah) pada 28 November 2011, 14 Disember 2011 dan 3 Januari 2012. Pilihanraya Majlis Shoura pula akan diadakan pada 29 Januari 2012.

2.9. Setiap peringkat Pilihanraya People’s Assembly akan melibatkan sembilan (9) Governorates(Muhaffazah) seperti berikut:

2.9.1. Peringkat Pertama pada 28 November 2011 - Cairo, Alexandria, Damietta, Fayoum, Port Said, Kafr El-Sheikh, Assiut, Luxor dan Red Sea.

2.9.2. Peringkat Kedua pada 14 Disember 2011 - Giza, Menoufiya (Shibin El-Kom), Sharqiya (Zaqazik),Beheira (Damanhur), Beni Suef, Ismailiya, Suez, Sohag dan Aswan.

2.9.3. Peringkat Ketiga pada 3 Januari 2012 - Gharbiya (Tanta), Daqahliya (Mansurah), Minya, Qalioubiya, North Sinai, South Sinai, Marsa Matrouh, Qena dan New Valley.

3. Langkah-langkah Keselamatan

3.1. Semua warganegara Malaysia disarankan untuk mematuhi nasihat-nasihat berikut:

(A) Pencegahan

3.1.1. Menghindari kawasan tumpuan perhimpunan dan tunjuk perasaan seperti Dataran Tahrir, premis Kerajaan strategik seperti Kementerian Penerangan (Maspero), Pejabat Perdana Menteri, Pejabat-pejabat Gabenor (Muhaffiz) dsb;

3.1.2. Tidak melibatkan diri dalam sebarang jenis perhimpunan yang dianjurkan oleh masyarakat tempatan sama ada di tempat terbuka atau tertutup atau dalam ataupun luar kampus universiti;

3.1.3. Mengelakkan daripada memberikan sebarang komen ataupun ulasan mengenai politik dalam Mesir kepada mana-mana individu, parti-parti politik dan organisasi Mesir dan asing. Situasi semasa di Mesir adalah merupakan hal ehwal rakyat Mesir semata-mata;

3.1.4. Menghadkan sebarang pergerakan ke tempat (venue) dan aktiviti terutamanya pada hari Jumaat yang tidak berkaitan dengan pengajian ataupun tugas pekerjaan termasuklah ceramah politik Mesir dan rapat umum yang tidak ada kaitan dengan negara Malaysia;

3.1.5. Mengelakkan dari berjalan-jalan / bersiar-siar di waktu malam ataupun berjalan berseorangan terutamanya bagi para mahasiswi;

3.1.6. Elakkan dari terlibat dalam pertengkaran yang boleh membawa pergaduhan dengan mana-mana anggota masyarakat tempatan yang kini bersemangat ‘revolusi’. Elakkan dari mengambil tindakan bersendirian yang boleh mengundang ancaman keselamatan diri dan nyawa;

3.1.7. Mengelakkan daripada mewujudkan suasana yang tidak tenteram dengan mempercayai dan menyebarkan khabar-khabar angin (hearsay / rumours) melalui sistem pesanan ringkas (SMS), laman sesawang seperti facebook, yahoo messenger, blog dan email. Adalah dinasihatkan supaya segala khabar angin disemak kesahihannya dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, atau Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian.

3.1.8. Mahasiswa-mahasiswi dan para pelajar mestilah mendapat pandangan dan kelulusan daripada Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan, sebelum mengikuti ataupun mengadakan sebarang aktiviti sama ada secara individu ataupun berkumpulan di luar kawasan tempat pengajian. Persatuan-persatuan dan Badan-badan Kebajikan Pelajar juga disarankan supaya menangguhkan aktiviti-aktiviti di luar kawasan kediaman dan kampus sehingga pilihanraya selesai melainkan setelah mendapatkan sokongan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian.

(B) Persediaan

3.1.9. Setiap warganegara Malaysia (yang bukan mahasiswa-mahasiswi/ pelajar) yang berada di Mesir dinasihatkan supaya mendaftarkan diri dengan Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah melalui salah satu daripada kaedah berikut:

3.1.9.1. mengisi borang secara atas talian (online) di http://www.kln.gov.my/web/guest/ekonsular ; atau

3.1.9.2. mengirim emel dengan menyertakan butir-butir peribadi dan alamat perhubungan kepada alamat emel; malcairo@kln.gov.my ; atau

3.1.9.3. menghubungi Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada waktu pejabat di nombor telefon (002) 02 3761 0013 (Encik Ahmed el Wassiff, Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah).

3.1.10. Bagi mahasiswa-mahasiswi/pelajar Malaysia yang berada di Mesir, sila layari laman web Pejabat Education Malaysia Egypt untuk membuat pendaftaran di http://www.educationmalaysiaegypt.net. Pejabat Education Malaysia Egypt juga boleh dihubungi di alamat emel: educationmalaysiaegypt@gmail.com.

3.1.11. Mematuhi sebarang arahan keselamatan termasuk perintah berkurung yang dikeluarkan oleh Kerajaan Mesir;

3.1.12. Mengutamakan keselamatan diri dan menyimpan dokumen-dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan Malaysia dsb serta barang berharga di tempat yang selamat;

3.1.13. Sentiasa peka dan berwaspada kepada persekitaran dan mengemaskini maklumat semasa melalui media massa dan arahan-arahan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah;

3.1.14. Menyimpan bekalan makanan dan minuman untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga (3) hari sepanjang tempoh pilihanraya. Selain itu, kad tambah nilai prabayar telefon dan wang saku tambahan disediakan dengan sewajarnya;

3.1.15. Memperkukuhkan tahap keselamatan tempat kediaman termasuk menggunakan mangga dan kunci yang bersesuaian. Selain itu, memastikan pintu rumah dan tingkap sentiasa ditutup rapat dan dikunci sebelum meninggalkan rumah;

3.1.16. Memastikan supaya dokumen pengenalan diri seperti kad pelajar universiti dan kad pelajar yang dikeluarkan oleh Education Malaysia Egypt ataupun pasport dibawa bersama apabila melakukan perjalanan keluar daripada rumah / kediaman. Bagi pemegang pasport Malaysia pula, perlulah memastikan supaya visa yang berkenaan masih sah berlaku;

3.1.17. Tidak keluar rumah atau tempat tinggal pada hari-hari pilihanraya dijadualkan dan keputusan diumumkan, melainkan perlu untuk menghadiri kuliah dan sebagainya. Namun sedemikian, perjalanan yang perlu dilakukan itu perlulah dipastikan keselamatannya dan mengelakkan daripada melalui kawasan-kawasan pengundian dijalankan dan keputusan pilihanraya diumumkan yang menjadi tempat perhimpunan orang ramai;

3.1.18. Memastikan anda dapat dihubungi dengan mudah dan sentiasa memberikan maklumat perhubungan anda yang terkini kepada Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (bagi warganegara Malaysia selain mahasiswa-mahasiswi / pelajar) dan Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan (bagi para mahasiswa-mahasiswi/ pelajar Malaysia).

4. Hal-hal Lain

4.1. Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telahpun membuat persediaan yang sewajarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Oleh itu, kerjasama semua warganegara Malaysia amatlah mustahak supaya segala tindakan susulan yang dirancang akan dapat dilaksanakan apabila perlu, dengan lancar tanpa sebarang masalah yang tidak diingini.

4.2. Garis Panduan Keselamatan ini bukanlah jaminan keselamatan tetapi sebagai panduan untuk keselamatan diri warganegara Malaysia semasa berada di Mesir dan bagi mempermudahkan sebarang urusan bantuan sewajarnya dihulurkan sekiranya perlu.

4.3. Selaras dengan amalan diplomasi antarabangsa, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah adalah merupakan satu-satunya pusat rujukan warganegara Malaysia semasa berada di Mesir. Sebarang pertanyaan bolehlah dirujuk ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Agensi-agensi Kerajaan yang bernaung di bawahnya.

Kedutaan Besar Malaysia

Kaherah

17 November 2011

0 HoT sTufF:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More