Tuesday, September 27, 2011

Duur Thani: Ujian & Rahmat Allah Bagi Mereka Yang Terpilih

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Selawat Ke Atas Nabi Muhammad Saw

Assalamualaikum wbt

Bersempena dengan tempoh 'duur Thani' atau lebih dikenali 'Sesi Belajar Lebih' buat sahabat kita. Disini ada beberapa perkataan yang boleh dihadamkan untuk diri mereka yang masih mencari punca dan jawapan bagi segala 'cabaran' atau patut saya katakan latihan sepanjang kehidupan kita andai kata kita merasakan dunia ini tidak adil.

Sukacitanya ingin saya kongsi satu pepatah bersama rakan semua

Al Iadah Hiya Az Ziadah

Jadi siapa yang rugi? Tiada...

Siapa yang untung? Kita...




Dalam kehidupan kita, seringkali kita merancang sesuatu itu agar berjalan lancar. Namun, sedarkah kita bahawasanya ada perancangan yang lebih baik telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada kita. Bermula daripada saat kelahiran sehingga saat kematian, pelbagai ujian diselitkan oleh Allah kepada kita bertujuan untuk menguji serta menambah keimanan kita. Sesungguhnya, dalam setiap ujian itu ada hikmah dan yang penting di sini adalah semangat kita untuk tidak berputus asa menghadapi ujian yang diberi.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 216:

2:216

"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Ujian dan Kepahitan, Bukan Didatangkan Tanpa Sebab

Bagaimanakah hal ini dapat dilihat dari segi konteks kita pelajar-pelajar perubatan? Sekarang ini merupakan tempoh di mana sebahagian daripada sahabat-sahabat kita sedang menduduki ujian duur thani. Tetapi semasa kita mengetahui yang diri kita terpaksa menduduki duur thani, terlintaskah di fikiran kita bahawa ini merupakan salah satu ujian Allah s.w.t terhadap kita untuk menguji tahap keimanan dan pengharapan kita kepada-Nya?

Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Quran, Surah Al-Ankabut, ayat 2-3;

29:2

29:3

Maksudnya: “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

Sepatutnya sebagai seorang Muslim, kita harus melihat hal ini sebagai ujian daripada Allah. Hal ini sepatutnya menjadikan semangat kita semakin kuat untuk berusaha bersungguh-sungguh mendapat keredhaannya dengan mencemerlangkan diri kita dalam bidang kita di dunia mahupun akhirat.

Ujian Allah kepada Nabi Ayub

Kita boleh mengambil contoh kisah Nabi Ayub a.s.. Baginda pada asalnya merupakan seorang yang kaya-raya dan mempunyai ramai anak. Tetapi Allah s.w.t. telah memberi keizinan kepada Iblis untuk menguji Baginda a.s.. Ujian pertama adalah kehilangan semua harta baginda. Ujian kedua, kematian semua anak-anak baginda dan yang ketiga adalah merosotnya kesihatan baginda sehingga terlantar sakit bertahun-tahun lamanya.

Kisah baginda a.s. ini telah dilakar baik oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran dengan firman-Nya yang bermaksud;

"Dan ingatlah akan hamba Kami Ayub ketika ia menyeru Tuhannya: 'Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan seksaan' (Allah berfirman): 'Hentamkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum. Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan kembali) keluarganya dan (Kami tambahkan) kepada mereka sebanyak mereka pula sebagai rahmat dari Kami dan pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran. Dan ambillah dengan tanganmu seikat (rumput), maka pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpah. Sesungguhnya Kami mendapati dia (Ayuh) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia sangat taat (kepada Tuhannya)."

[Surah Saad: 41-44]

Persoalannya di sini, adakah Nabi Ayub a.s. kecewa dengan ujian Allah s.w.t.? Adakah Baginda a.s. berputus asa untuk beribadat kepada Allah s.w.t.? Jawapannya sudah tentu TIDAK! Malah Baginda a.s. tetap berusaha dengan gigih untuk terus beribadat kepada Allah s.w.t.. Bagaimana pula semangat ini dapat diaplikasikan dalam diri kita untuk menghadapi duur thani? Sesungguhnya, jatuh sekali bukan bererti jatuh buat selama-lamanya. Carilah kekuatan daripada Ilahi untuk bangun semula agar kejayaan yang didamba selama ini akan tercapai demi agama kita yang tercinta.

Duur thani juga boleh dilihat sebagai rahmat Allah s.w.t. kepada kita. Apakah kita berputus asa dengan rahmat Allah s.w.t.?

Sesungguhnya, Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah Az-Zumar;

39:53

Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Rahmat Ujian

Bagaimanakah kita dapat melihat perkara ini sebagai rahmat? Tidak terfikirkah kita dikala rakan-rakan kita sedang sibuk bergembira menyambut hari raya, kita selaku golongan yang terpilih oleh Allah sedang sibuk mengulangkaji, sekurang-kurangnya kita dapat memantapkan pengetahuan kita terhadap matapelajaran pada tahun tersebut. Sudah tentu pengharapan kita kepada Allah s.w.t. untuk berjaya menyebabkan kita beribadat lebih tekun dan bersungguh-sungguh.

Apapun di sini, hikmah yang diberi Allah s.w.t. kepada sentiasa membawa kebaikan kepada kita sama ada ianya berbentuk ujian mahupun nikmat. Jadi berusahalah bersungguh-sungguh untuk duur thani ini semoga kita berjaya bukan saja untuk lulus tetapi dalam masa yang sama kita turut berjaya mendapat keredhaan dan bertambah subur keimanan kita terhadap Allah s.w.t. ibarat sambil kata pepatah, “sambil menyelam minum air”. Ingatlah, seseorang itu tidak dianggap gagal apabila dia gagal sekali tetapi dia akan dianggap gagal apabila dia berputus asa dan berhenti berusaha.


sumber : PERUBATAN

0 HoT sTufF:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More